TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR ICT PERINGKAT NEGERI SABAH 2013, PADA 10 SEPTEMBER 2013, DI DEWAN RESITAL, SEKOLAH PENGAJIAN SENI, UMS, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Sempena Majlis Perasmian Seminar ICT Peringkat Negeri Sabah 2013 dengan tema ‘Green Computing’ pada pagi ini. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Sabah atas jemputan untuk saya hadir seterusnya merasmikan seminar ini.

 

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada pihak swasta yang turut serta dalam berkongsi maklumat berhubung dengan kepantasan teknologi terkini khasnya dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Kita sedar, kepantasan teknologi sentiasa berlumba-lumba untuk mendahului zamannya dan kita sebagai pengguna harus bersiap siaga memikirkan keterlibatan diri dan organisasi kita untuk terbabit sama.

 

Sesungguhnya seminar ini amat bermakna dan sangat signifikan kepada rakyat dan negeri ini dalam usaha kita untuk memacu kemajuan negeri dan mencetuskan dimensi baru khususnya dalam bidang ICT. Sehubungan itu, amat penting bagi kita untuk mengaplikasi, menguasai dan membudayakan ICT dalam kehidupan seharian.  Kita tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati terhadap kepesatan teknologi ini. Sebaliknya, kita perlu menjadi pengguna dan pemain yang aktif dalam industri ini.

 

Alhamdulilah,  secara peribadi saya juga sentiasa mengikuti perkembangan teknologi ICT agar seiring dengan kehendak dan keperluan semasa. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Sabah. Pada kesempatan ini, suka saya mengajak agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta untuk turut mengambil langkah mengaplikasikan dan meningkatkan penggunaan ICT di dalam organisasi masing-masing.

 

Seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini, kita seharusnya peka terhadap kemajuan teknologi ICT. Lebih-lebih lagi jika sesuatu teknologi terbaru itu mampu menyumbang ke arah peningkatan tahap kecekapan jabatan, penggunaan sumber, fasiliti, serta dapat mengurangkan kos operasi dan menjamin keselamatan maklumat yang disimpan.

 

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua khasnya Pegawai Teknologi Maklumat atau Chief Information Officer (CIO) untuk merancang keperluan ICT jabatan masing-masing selaras dengan perkembangan terkini. Perancangan rapi dan teliti perlu dibuat supaya keperluan dan penggunaan ICT dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan agensi-agensi kerajaan, memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, selain daripada mengelakkan sebarang pembaziran pembelian alatan ICT yang tidak dimanfaatkan akibat silap perancangan.

 

Pada kesempatan ini, suka saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk memastikan segala perancangan yang dibuat hendaklah mengambilkira juga keperluan mengintegrasikan setiap aplikasi yang digunakan di jabatan masing-masing untuk mengelakkan sebarang pertindihan maklumat, boleh diandalkan (reliability) dan meningkatkan kebolehurusan (managebility).

 

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas kejayaan penganjuran seminar ini. Dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, saya percaya seminar ini akan menjadi pemangkin bagi memacu kemajuan dan transformasi negara dengan kecanggihan teknologi komunikasi, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat pada keseluruhannya negara.

 

 

Sekian.